48
PERKEMBANGAN SENI MUZIK
DALAM PERADABAN ISLAM DI NUSANTARA
Oleh:
Abdullah Yusof∗
Awerman Bidin∗∗
Abstract
This article aims to expose the status of music in a
country where majority of its people follow the Islamic
faith. Music in this country does not hold a great
position and this indicates that musical creativity is
always questioned within Islamic law such as in
Indonesia. This indication is not precise without
understanding the meaning and purpose behind the
music. Music represents a creation of man and
constitutes as a part of art, meanwhile, art is one of the
cultural aspects in human life. Therefore, culture is
related to art and also one of the aspects of Islamic
religion’s values. Accordingly, art represents an aspect
of Islamic religion. Hence, in Islam art is not part of the
religion, rather it is part of Islamic cultures. The type of
music that always been implemented by Moslems
throughout the world is of melodic strains with the sweet
voice during a call to prayer, for every newly born baby
boy this called as Azan while Qamat is to be practiced
when a baby girl is born.
∗ Dr. Abdullah Yusof, Ph.D adalah Pensyarah Kanan di Jabatan Sejarah Dan
Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
∗∗ Awerman Bidin, M.A. adalah calon Doktor Falsafah di Jabatan Sejarah Dan
Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
49
Pendahuluan
Penulisan artikel ini bertujuan untuk melihat kewujudan
praktik seni muzik Islam di Nusantara khususnya di Malaysia dan
Indonesia. Persepsi mengenai muzik Islam di kalangan masyarakat di
Nusantara lazimnya tidaklah begitu positif. Hal ini dapat dikaitkan
dengan pandangan bahawa kreativiti dalam bidang muzik selalu
mempermainkan hukum Islam. Petunjuk ini sebenarnya tidaklah
tepat bahkan berdasarkan prasangka semata-mata tanpa mengetahui
terlebih dahulu pengertian yang mendasari seni muzik itu sendiri.
Muzik seperti difahami adalah merupakan hasil cetusan
fikiran dan minda manusia, sedangkan agama Islam adalah anugerah
Allah. Di sudut yang lain, muzik adalah sebahagian daripada
kesenian, sedangkan kesenian adalah rangkuman daripada
kebudayaan. Ini menunjukkan bahawa kebudayaanlah yang
berhubungan dengan kesenian. Kebudayaan itu sendiri adalah satu
aspek dari Din Islam. Oleh kerana kesenian merupakan aspek dari
Din Islam maka kesenian bukanlah sebahagian dari agama, namun ia
adalah sebahagian dari Din Islam. Sebagai contoh kisah yang dipetik
dari al-Qur’an (Surah Saba’) mengenai Nabi Daud dan anaknya
Sulaiman a.s. yang menggunakan keindahan seni muzik dengan
iringan alat kecapi bagi merasai keindahan alam sekeliling menerusi
lagu puji-pujian kepada Allah di samping menggambarkan
kebesaran, kesempurnaan dan kemuliaan tuhan.1
Secara umum implementasi agama Islam dalam masyarakat
selalu diiringi oleh seni bunyi atau melodi tertentu bahkan bunyi
pertama yang diperdengarkan kepada bayi orang Islam yang baru
lahir adalah alunan melodi dengan suara yang merdu iaitu suara azan
dan qamat. Begitu juga suara azan untuk panggilan solat
1 Lihat Abdullah Yusof (1999), “Kegiatan Seni dan Hiburan Dalam Islam serta
Hukumnya”, dalam Seni dan Hiburan Dalam Perspektif Islam. Kuala Lumpur:
Penerbit KAGAT dan Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, h. 1.
50
berkumandang lima kali sehari dilagukan dengan penuh berirama.
Jelas di sini bahawa kesan seni muzik amat besar kerana ia boleh
menggetarkan jiwa dan meninggalkan kesan efektif dan psikomotif di
samping kesan kognitif.2
Manusia merupakan makhluk yang paling sempurna
diciptakan Tuhan. Salah satu keistimewaannya adalah manusia itu
dilengkapi dengan akal dan fikiran. Aktiviti-aktiviti manusia
dicetuskan menerusi akal, fikiran, cipta, rasa, dan karsa mampu
menghasilkan sebuah karya seni yang mengisi kebudayaan. Hasil
karya tersebut menjadi kebanggaan bagi si pencipta, sehingga
sentiasa dijaga kelestariannya. Kebudayaan pada prinsipnya
mempunyai tiga unsur: pertama, kebudayaan sebagai suatu kompleks
dari idea-idea, gagasan, nilai-nilai, norma-norma, dan peraturan;
kedua, kebudayaan sebagai suatu kompleks yakni aktiviti kelakuan
berpola dari manusia dalam masyarakat; ketiga, kebudayaan sebagai
produk hasil karya manusia.3 Kebudayaan secara umum bererti
hampir semua tindak-tanduk dan tingkah laku dari manusia atau
sekelompok manusia. Kebudayaan Nusantara baik Malaysia
mahupun Indonesia adalah satu kondisi majmuk kerana ia
bermodalkan pelbagai kebudayaan lingkungan wilayah yang
berkembang menurut tuntutan sejarahnya sendiri.4
Salah satu cabang kebudayaan adalah kesenian. Menurut
Umar Khayyam “kesenian adalah salah satu unsur yang
menyangga kebudayaan.”5 Kesenian merupakan ekspresi
kebudayaan manusia. Kesenian timbul kerana proses sosialisasi
budaya. Kesenian tentunya didukung oleh suatu kelompok
2 Lihat Engku Ibrahim Ismail, et. al., (1992), Konsep Seni Dalam Islam, Akademi
Pengajian Melayu, Universiti Malaya, h. 13.
3 Koentjaraningrat (1974), Kebudayaan Mentalitet dan Pembangunan. Jakarta: P.
T. Gramedia, h. 15.
4 Umar Khayyam (1981), Seni Tradisi Masyarakat. Jakarta: Sinar Harapan, h. 16.
5 Ibid., h. 15.
51
masyarakat tertentu dan juga dapat menunjukkan ciri-ciri serta
sejarah budaya dari suatu daerah. Kesenian terdiri daripada beragam
cabang termasuk di antaranya cabang seni persembahan. Seni
persembahan atau pertunjukan bererti sebuah produk tontonan atau
persembahan yang bernilai seni seperti drama, tari, muzik dan teater
yang disajikan di hadapan penonton. Batasan ini senada dengan apa
yang terdapat di Barat dengan istilah performing arts.6 Seni
persembahan di Nusantara umpamanya berpunca dari suatu keadaan
di mana ia tumbuh dalam lingkungan-lingkungan etnik yang berbeda
antara satu sama lain. Ketentuan adat yang merupakan kesepakatan
bersama yang diwariskan secara turun temurun sangat berpengaruh
dan menentukan jatuh bangunnya seni pertunjukan tersebut.7
Dalam kebudayaan Nusantara yang elok dan subur terdapat
bermacam jenis seni pertunjukan seperti tari, muzik, teater, mahupun
resitasi (sastera lisan) lainnya. Situasi seni pertunjukan tersebut
dalam era globalisasi sekarang ini sangat rencam sifatnya; ada yang
berkembang dengan baik, ada yang mampu bertahan dan ada yang
mengalami kemunduran iaitu menuju kepunahan atau kepupusan.
Perkembangan muzik kini berlangsung dalam pelbagai dimensi
kerana ia berkaitan dengan tempat atau negara di mana muzik
tersebut muncul dan berkembang serta kekuatan yang
mempengaruhinya. Baik Malaysia mahupun Indonesia sebagai negara
serumpun yang mempunyai majoriti penduduk Islam, maka
pertumbuhan muzik akan dipengaruhi oleh kebudayaan tempatan dan
kebudayaan Islam.
Secara umum dapat dilihat bahawa di negara-negara yang
mempunyai majoriti penduduk beragama Islam, perkembangan
6 Sal Murgiyanto (1996), “Cakrawala Pertunjukan Budaya Mengkaji Batas dan Arti
Pertunjukan”, Jurnal Masyarakat Seni pertunjukan Indonesia, Th. VII.
Yogyakarta, h. 153.
7 Edi Sedyawati (1981), Pertumbuhan Seni Pertunjukan. Jakarta: Sinar Harapan, h.
52.
52
muziknya tidaklah sesubur berbanding negara yang penduduk
Islamnya adalah minoriti. Hal ini dapat dilihat di beberapa negara
majoriti penduduk beragama Islam seperti Indonesia, Malaysia,
Brunei Darussalam dan sebagainya. Negara-negara lain seperti
Filipina, Thailand, India, Australia, Amerika Syarikat, Jepun dan
keseluruhan negara-negara di Eropah di mana perkembangan muzik
mereka terus subur. Berhubung hal ini, timbul persoalan apakah
agama Islam tidak merestui atau memberi respons yang baik terhadap
muzik untuk tumbuh dan berkembang dalam masyarakat Islam.
Tulisan ini akan membicarakan tajuk “Perkembangan Seni
Muzik Dalam Peradaban Islam di Nusantara” bagi meneliti tentang
kewujudan muzik dalam masyarakat Islam. Baik di kalangan
penggiat mahupun orang awam jarang berusaha memahami secara
mendalam tentang konsep dan definisi serta aspek yang terkandung
dalam seni muzik. Kebiasaan manusia hanya suka memutuskan
justifikasi tentang hukumnya (harus atau haram), tanpa mengkaji
terlebih dahulu falsafah muzik itu sendiri. Mereka jarang mengkaji
nilai yang terkandung dalamnya, termasuk fungsi dan peranannya.
Justeru ketika pengertian muzik belum diperhalusi, wajarkah
penghakiman terus dilakukan. Muzik sebenarnya bersifat natural dan
kita tidak boleh memberikan nilai sama ada nilai baik mahupun nilai
buruk kerana ia bergantung kepada manusia yang mencipta,
mencorak, mengalun dan menggabungkannya serta bagaimana ia
dapat dimanfaatkan oleh manusia.8 Memang jelas apabila muzik itu
boleh menyusahkan hati, mengacaukan fikiran dan keharmonian serta
membangkitkan nafsu maka sudah tentu ia adalah batil.9
Dari segi sejarah, Nabi Muhammad S.A.W. dan para sabahat
pernah berlagu dan berdendang ketika mendirikan masjid Nabawi di
8 Lihat Zubir Ali (1999), “Muzik: Satu Pandangan”, dalam Seni dan Hiburan
Dalam Perspektif Islam. Kuala Lumpur: Penerbit KAGAT dan Jabatan Pengajian
Media, Universiti Malaya, h. 68.
9 Ibn ‛Abd Rabbih, al-‛Aqd al-Farid, III, h. 178.
53
Madinah dan ketika menggali parit ketika perang Khandak.10 Justeru
itu, al-Ghazali tidak teragak-agak mengemukakan pandangan ulama
berhubung keharusan dan pengharaman mendengar nyanyian dan
muzik.11 Begitu juga penegasan Ibn Taimiyyah bahawa nyanyian dan
muzik harus berupaya memperbaiki hati dan menyucikan jiwa,
bahkan mendengar ayat-ayat Allah dan lagu-lagu tasbih diberi
ganjaran pahala yang besar.12
Inilah masalah pokok dalam masyarakat apabila pembicaraan
tentang muzik dikaitkan dengan hukum agama Islam. Orang dengan
segera dan mudah mengharuskan atau mengharamkannya sehingga
permasalahan sama ada diterima atau ditolak muzik di kalangan
masyarakat Islam tidak pernah selesai. Ramai sarjana yang cuma
mengemukakan definisi tentang muzik termasuk Rizaldi Siagian
yang cuba menterjemahkan pengertian muzik menurut Harvard
Dictionary of Music, yang pada dasarnya menyatakan bahwa istilah
muzik berasal dari bahasa Yunani, muse, dan lebih spesifik lagi
berasal dari monoiki tehni, seni (tehnik) dari Muse.13
Dalam Ensiklopedia Indonesia, muzik adalah seni menyusun
suara atau bunyi. Ini tidak hanya terhad kepada seni menyusun bunyi
atau suara indah semata-mata kerana suara atau bunyi sumbang
(disonansi) telah lama digunakan dan ramai penggiat dalam industri
muzik yang bereksperimen dengan suara atau bunyi seperti itu. Unsur
penting dalam muzik Barat sebenarnya ialah harmoni dan interaksi
antara nada-nada.14
10 Lihat al-Bukhari, Sahih, h. 126 (Hadith riwayat Anas bin Malik).
11 Al-Ghazali, Ihya’ Ulum al-Din, II, Dimasq, hh. 237 - 239.
12 Rujuk al-Qur’an (39): 17 - 18 dan tafsirannya.
13 Victor Ganap (1993), “Kajian Musik di Jenjang Tersier”, Jurnal Seni
Pengetahuan dan Penciptaan Seni. Yogyakarta, h. 38.
14 Hassan Shadily (1984), Ensiklopedia Indonesia. Jakarta: Ichtiar Baru Van
Haove, h. 2316.
54
Berdasarkan kenyataan di atas dapat diambil kesimpulan
bahawa muzik adalah rasa indah yang terkandung dalam diri
seseorang atau sekelompok orang yang diungkapkan melalui karya
dalam perwujudan kombinasi nada-nada atau bunyi yang
mengandung ritma, harmoni, serta mempunyai bentuk, ruang dan
waktu. Justeru itu pada akhirnya dapat mencetuskan rasa indah yang
terkandung dalam diri seseorang atau sekelompok orang yang
menikmati karya tersebut terutama dalam aspek emosi. Dengan
demikian muzik merupakan sebahagian dari kehidupan manusia,
sedangkan Islam merupakan keperluan manusia dalam menempuh
kehidupan ke arah yang lebih baik. Maka, antara muzik dengan Islam
tentu ada kesatuan yang menghubungkan, paling tidak ada benang
merah yang menghubungkan di antara keduanya menurut hukum
Islam serta implementasinya di tengah-tengah kehidupan umat Islam,
terutama di Nusantara.
Berdasarkan latar belakang di atas, ternyata banyak perkara
yang menarik untuk diungkapkan melalui tulisan ini, yang pada
akhirnya dapat digunakan sebagai sumber informasi bagi dunia seni
pertunjukan khususnya di negara-negara yang terdapat majoriti umat
Islam di rantau ini. Dari aspek tertentu, ia dapat menjadi pedoman
bagi para peminat dan para pencipta karya musik yang masih raguragu
berhubung kedudukan muzik dari perspektif hukum Islam.
Tulisan ini akan mengupas pandangan Islam berhubung seni muzik
dan pengkaryaannya serta bagaimana implementasi muzik dapat
diterapkan kehidupan umat Islam.
Permasalahan
Kedudukan muzik di sesebuah negara seperti Indonesia dan
Malaysia atau negara-negara lain rantau ini sudah tentu dikaitkan
dengan pelbagai kelompok yang melibatkan ramai orang dari
kepelbagaian etnik, penganut agama dan budaya yang berbeza.
Justeru itu, adalah wajar dibentuk atau ditubuhkan satu badan khas
55
berautoriti mengawal aspek ini dengan pembiayaan dan kawalan oleh
pemerintah. Peranannya bukan setakat memperkembangkan aktiviti
berkaitan seni muzik, bahkan membina konsep baru tentang muzik
serta kaedah pelaksanaannya dengan melibatkan penyertaan golongan
agama bertaraf sarjana sebagai pembimbing dan pemikir agar ianya
selari dengan tuntutan Islam. Untuk membicarakan muzik agar selari
dengan hukum-hukum Islam, kita perlu meninjau sejauh mana
pengamalan muzik yang pelbagai itu di tengah-tengah kehidupan
manusia sebagai makhluk berbudaya. Berhubung hal ini Sayyed
Hossein Nasr pernah menegaskan sepertimana berikut:
“Tak seorangpun dapat menemukan cikal-bakal
seni Islam di dalam ilmu-ilmu pengetahuan yuridis
dan teologis, baik keduanya berhubungan erat
dengan hukum Ilahi maupun masalah penegasan
dan pembelaan prinsip-prinsip keimanan Islam.
Secara peribadi seorang teologi seperti Al-Ghazali
telah menulis tentang keindahan. Beberapa penulis
yang tentang ilmu hukum (fikih) seperti Baha’ Al-
Din Al-‘Amili bahkan membangun taman-taman
yang indah, namun risalah-risalah tentang teologi
(kalam) atau ilmu hukum (fikih) yang memberikan
penjelasan tentang masalah-masalah seni dan
estetika Islam tidaklah dikenal”.15
Berdasarkan petikan di atas timbul tanggapan dalam masyarakat
Islam bahawa muzik tidak ada sangkut pautnya dengan agama Islam
adalah benar. Ini kerana hukum bermain muzik atau hukum muzik
dalam Islam tidak terdapat dalam al-Qur’an. Muzik adalah
merupakan buah karya dari manusia, sedangkan agama turun dari
Ilahi. Dari sudut lain, muzik adalah sebahagian kesenian, sedangkan
kesenian adalah aspek dari kebudayaan. Dengan demikian
15 Seyyed Hoseein Nasr (1993), Spiritualitas dan Seni Islam. Bandung: Mizan, h.
16.
56
kebudayaanlah yang berhubungan dengan kesenian. Dan kebudayaan
itu adalah satu aspek dari Din Islam. Maka kesenian adalah juga
merupakan aspek dari Din Islam. Jelas di sini bahawa kesenian
bukanlah sebahagian dari agama, namun ia adalah sebahagian
daripada Din Islam”.16
Justeru itu dapat difahami bahawa karya seni yang diciptakan
adalah realiti baru yang sentiasa berubah-ubah kerana ia merupakan
ciptaan manusia, sedangkan yang abadi adalah ciptaan Allah. Agama
pula adalah abadi dalam kebenarannya, sedangkan karya seni adalah
universal. Ia muncul dan tumbuh di mana-mana dan sepanjang masa,
sedangkan agama tidaklah muncul dan tumbuh di mana-mana
sepanjang waktu. Berikutnya Sidi Gazalba telah memberi penegasan
berikut:
“Alam dan firdaus mengandung nilai estetik yang
agung tetapi alam firdaus dan Al-Qur’an itu
bukanlah karya seni. Karya seni berhubungan
dengan manusia bukan dengan Tuhan. Kembali
dipertegas dalil bahwa seni itu adalah kebudayaan
bukan agama. Sekalipun apa yang diciptakan
Tuhan itu mengandung nilai estetik namun ia tidak
dikatakan karya seni”.17
Sungguhpun muzik tidak ada dasar hukumnya dalam al-
Qur’an, maka alangkah baiknya dilihat dari sudut lain seperti
pengamalannya di tengah-tengah masyarakat. Muzik adalah
sebahagian dari sebuah karya seni yang secara realitinya boleh
diimplementasikan di tengah-tengah masyarakat Islam tanpa disedari.
Misalannya membaca al-Qur’an dengan menggunakan irama
sepertimana dalam tilawah atau musabaqah al-Qur’an di mana irama
16 Sidi Gazalba (1981), Islam dan Kesenian. Jakarta: Pustaka Alhusna, h. 104.
17 Ibid., h. 126.
57
al-Qur’an (bacaan bertarannum) mempunyai nilai estetik yang tinggi.
Kedua, menyeru azan dengan unsur melodi dan suara yang merdu.
Ketiga, menyanjung Allah dan Rasul-Nya dengan lagu-lagu yang
diiringi oleh alat muzik.18 Kesemuanya itu mengandung aspek-aspek
muzikal seperti melodi, lirik dan suara yang merdu. Dalam hal ini
Seyyed Hossein Nasr menegaskan bahawa:
“Panggilan salat (al-azan) hampir selalu
dikumandangkan dengan lagu, sebagaimana
halnya Al-Qur’an Al-Karim yang dengan
melagukannya merupakan hidangan yang sangat
bergizi bagi jiwa kaum mukmin, sekalipun secara
teknik melagukan Al-Qur’an tidak pernah disebut
dengan musik tetapi musiqa atau ghina’ ”.19
Begitu juga hadith Nabi Muhammad S.A.W. yang dipetik
oleh Sidi Gazalba sepertimana maksud berikut:
" Hendaklah kamu baguskan akan Al-Qur’an
dengan suaramu, karena suara yang bagus
menambah kebagusan Al-Qur’an. (H.R. Imamimam
Al-Hakim, Al-Darimy dan Ibnu Nasar dari
Al-Bara bin ‘Azib). Bagi Allah sangat mendengar
akan orang yang bagus suaranya dengan Al-
Qur’an yang keras bacaannya daripada suara
seorang yang mempunyai biduanita perempuan
mendengar nyanyiannya. (H.R. Imam-imam Ibnu
Majah, Ibnu Hibban, Hakim, Baihaqi dari Fadalah
bin Abaid)."20
18 Ibid., hh. 129 - 130.
19 Seyyed Hossein Nasr (1993), op.cit., h. 165.
20 Sidi Gazalba (1981), op.cit., h. 127.
58
Omar Amin Hoesin dalam Kultur Islam mengemukakan
semboyan dari ahli-ahli muzik Arab bahawa:
“Sekali muzik, tetap untuk muzik. Dengan muzik,
semenjak dari buaian sampai ke kubur, dari
nyanyian nina bobok, hingga nyanyian ratap
tangis (from lullaby to the elegy). Tiap-tiap
moment sejarah hidup mereka, mempunyai musik
tertentu. Girang dan sedih, bekerja dan bermain,
mandi darah di medan perang, atau mengerjakan
ibadah agamanya, diikuti dengan gelombang
muzik, menurut bahagiannya masing-masing.
Hingga membaca Al-Qur’an pun, berbagai
langgam musik dilahirkan”.21
Ini bermakna muzik adalah merupakan sebahagian yang
integral dalam kehidupan masyarakat Islam. Hal ini dapat dilihat
dengan kehadiran muzik dalam diri manusia yang tidak dapat atau
sukar dipisahkan sama sekali lebih-lebih bagi umat Islam. Dalam
kehidupan umat Islam di Nusantara semenjak lahir sehingga seribu
hari berikutnya ketika di dalam kubur masih diselimuti oleh alunan
muzik. Muzik merupakan bunyi yang pertama hadir dalam kehidupan
umat Islam setelah kalam Ilahi, iaitu saat kelahiran anak orang sudah
pun diperdengarkan kalam Ilahi. Kalam Ilahi tersebut bersamaan
dengan alunan melodi yang disampaikan menerusi suara azan dan
qamat baik bagi anak lelaki mahupun anak perempuan. Kemudian
kehidupan umat Islam diakhiri pula oleh muzik iaitu sepanjang seribu
hari sewaktu mayat bersemadi dalam kubur.
Dalam suasana berkabung ketika seorang umat Islam
meninggal dunia, alunan muzik vokal diperdengarkan meneruasi
bacaan ayat-ayat al-Qur’an oleh orang-orang yang masih hidup di
21 Omar Amin Hoesin (1981), Kultur Islam. Jakarta: Bulan Bintang, h. 393.
59
luar kubur. Kemudiannya berkumandang alunan muzik vokal
tersebut selama seribu hari melalui acara tahlil. Dalam tahlil diisi
dengan pemberian infaq, sedekah dan juga menghadiahkan doa
kepada roh si mati termasuk bagi roh nenek moyang terdahulu. Acara
tahlil tersebut terdiri dari beberapa peringkat iaitu: semenjak dari tiga
hari, tujuh hari, dua kali tujuh hari, tiga kali tujuh hari, empat puluh
hari, seratus hari sehinggalah seribu hari.22 Tahlil berisikan
pembacaan ayat-ayat al-Qur’an, istighfar, selawat, zikir dan berdoa
bersama yang kesemuanya itu menggunakan alunan melodi vokal
dari awal sampai akhir.
Begitu juga perintah solat lima waktu yang dikerjakan oleh
umat Islam sebagai tanda pematuhan terhadap agama. Setiap
menjelang waktu solat selalu dikumandangkan suara azan sebagai
panggilan solat. Sebelum kemunculan sound system di tengahtengah
umat Islam sebagai penguat suara azan, masyarakat
diperdengarkan dengan bunyi beduk atau kertuk sebagai tanda
masuknya waktu solat. Kemudian baru disusuli dengan suara azan,
karena dentungan beduk lebih keras dan kuat bunyinya dibandingkan
dengan suara azan. Beduk kalau ditinjau dari sudut instrumen muzik
termasuk instrumen jenis membranofon. Setiap masjid, surau atau
musala hampir tidak ada yang tidak mempunyai sebuah beduk atau
keretuk sehinggalah munculnya era penggunaan sistem siaraya.
Pada bulan-bulan tertentu pula sering diperdengarkan suara
zikir dan syair-syair Arab yang dilagukan dengan melodi yang indah
lebih-lebih pada zaman dahulu. Pada zaman sekarang yang masih ada
hanya di daerah-daerah tertentu khususnya di kawasan luar bandar
atau kampung. Kini di bandar dan kota, masjid masih mengadakan
majlis memperingati hari kebesaran Islam seperti memperingati hari
22 Lihat Abdullah Yusof, “Beberapa Aspek `Urf Fasid Dalam Budaya Melayu dan
Kesannya Terhadap Hukum”, dalam Prosiding Seminar Hukum Islam Semasa III
Peringkat Kebangsaan 2000. Universiti Malaya: Akademi Pengajian Islam, h. 16.
60
kelahiran Nabi Muhammad S.A.W., yang terkenal dengan sebutan
bulan Maulid Rasul. Selama sebulan berkumandang syair Maulud
yang diiringi dengan zikir dan selawat badar; kedua, memperingati
peristiwa Isra’ dan Mi‛raj Nabi Muhammad S.A.W. di bulan Rejab.
Selama sebulan penuh berkumandang syair-syair barzanji dan juga
diiringi oleh zikir; Ketiga, pada bulan Ramadan sudah menjadi
kebiasaan bagi umat Muslim berkeliling kampung atau desa
mengumandangkan zikir dan selawat di malam hari menjelang
makan sahur, dan diselangi sekali-sekali dengan teriakan sahur.
Teriakan sahur sambil bernyanyi-nyanyi bertujuan untuk
membangunkan umat kalau masih ada yang tertidur. Di masjid, surau
dan musalla diisi dengan memperbanyak membaca al-Qur’an yang
dikenali sebagai tadarus. Kemudian ada juga yang memeriahkan
bulan Ramadan dengan mengadakan pertandingan atau perujian
membaca al-Qur’an yang terkenal dengan MTQ (MusabaqahTilawah
Qur’an) dan pertandingan azan; keempat, pada bulan Syawal iaitu
pada Hari Raya ‘Idil Fitri dikumandangkan takbir sebaik selesai
berbuka puasa pada hari akhir bulan Ramadan sehinggalah sampai
waktu mengerjakan salat ‛Aidil Fitri; kelima, pada bulan Zulhijjah
iaitu pada Hari Raya ‘Aidil Adha digumandangkan takbir semenjak
dari malam hari menjelang solat ‘Aidil Adha, dan berakhir pada hari
ketiga.
Kebiasaan umat Islam melagukan al-Qur’an dan melagukan
azan, pernah dicuba oleh beberapa penggiat seni terkenal
mengangkatkannya ke dalam komposisi karya seni iaitu: Pertama,
Meyerbeer di Eropah pada abad sembilan belas yang mengangkat
irama al-Fatihah ke dalam bentuk sandiwara yang memainkan cerita
Hugenoten. Kisah Hugenoten menceritakan kejadian di Paris, di
mana atas nama agama Kristian, beribu-ribu manusia disembelih
hidup-hidup. Para sejarawan mengatakan bahwa sungai Seine, yang
mengalir di tengah kota Paris telah menjadi merah karana darah
61
manusia.23 Sandiwara Meyerbeer titik klimaksnya terdapat pada
bahagian ketiga iaitu seorang penjaga malam (wachter) menyanyikan
solo tenor.24 Tiga orang kritikus muzik iaitu William Lane (Inggeris),
Villateau dan De La Borde (Perancis) cuba mencari sumber inspirasi
dari nyanyian solo tenor itu.
“Akhirnya William Lane dan kawan-kawan
mendapatkan kunci rahasia Hugenoten itu pada
tengah malam sunyi di sebuah dusun Mesir di
Syracusa. Pada malam tenang sunyi senyap itu,
didengarnya seorang anak membaca al-Qur’an
surat al-Fatihah. Bacaan itu sangat menarik
hatinya karena terbayang padanya, pemain
sandiwara yang melakukan peranan penjaga
malam dengan tenornya dalam babak ketiga cerita
Hugenoten”.25
Kedua, komposer terkenal di seluruh dunia iaitu Mozart
pernah mengangkat irama al-Fatihah ke dalam sebuah konsert
sebagaimana yang dikemukakan oleh Omar Amin Hosein
sepertimana berikutnya; “bacaan al-Fatihah itu juga dengan cara
tersendiri, telah diciptakan oleh Mozart menjadi suatu muzik konsert
dengan nama Requem”.26 Konsert Requem merupakan sebuah konsert
yang cukup panjang dan mempunyai beberapa bahagian gubahan,
tetapi sayang sekali Omar Amin Hosein tidak menyatakan pada
bahagian mana irama al-Fatihah tersebut dimasukkan ke dalam
komposisi Requem.
23Ibid., h. 408.
24 Ibid., h. 407.
25 Ibid.
26 Ibid., h. 409.
62
Ketiga, pada tahun 1844, seorang komposer
mempersembahkan konsertnya yang diberi nama nama komposisi
Desert (Padang Pasir) sebuah karya dari Felician Davit. Ternyata
hasil konsert komposisi “Desert” tersebut telah membawa dan
mengangkat namanya sehingga menjadi semakin terkenal. Kritikus
Villeteau (Perancis) pula cuba menyelidik sumber inspirasi dari
komposisi Desert karya Felicien David. Akhirnya Villeteau
menemukan sumber dari unsur melodi dari komposisi Desert iaitu
berasal dari nyanyian Muazzim di menara Masjid waktu fajar. Azan
subuh ini dinamakan juga oleh orang Eropah sebagai “Morgen Zang”
iaitu nyanyian pagi.27
Hasil karya beberapa komposer ternama di atas bertitik tolak
dari alunan melodi dari irama melagukan al-Qur’an dan azan berserta
nuansanya, sehingga lahirlah komposisi terkenal sekali gus
membawa nama komposer tersebut menjadi besar.
Zaman kejayaan Islam di sebahagian besar dunia pada masa
lalu banyak dipengaruhi oleh berbagai ilmu pengetahuan yang
dikembangkan oleh tokoh-tokoh Islam. Perkembangan ilmu
pengetahuan juga diikuti oleh perkembangan ilmu muzik dan
pembuatan instrumen muzik. Hal tersebut dirujuk kepada beberapa
tokoh yang dinyatakan oleh Farmer bahawa:
“Arab Muslim telah menyumbangkan praktik seni
muzik di Timur, dan nama-nama tekniknya, telah
menutupi daerah-daerah luas, semenjak dari
Samarqand sampai ke pantai Lautan Atlantik”.28
27 Ibid., h. 410.
28 Ibid., h. 414.
63
Perkembangan muzik Islam ditandai dengan munculnya
tokoh-tokoh muzik Islam, sebagaimana yang diungkapkan oleh
Farmer bahawa:
“Kaum Muslim dalam dunia musik telah
menjalankan tugasnya sekali dua, dalam satu
waktu. Sebagai pencipta - inventer musik dan
sebagai pengembang - improver alat perkakas
musik. Kebenaran ini cukup bahan untuk
membuktikannya yaitu: Al-Farabi wafat 950 M.,
adalah sebagai inventer juga improver dari rabab
dan qanun. Al-Zuman yang hidup abad 9 M.,
adalah pencipta nay zunami. Al-Zalal wafat 791
M, telah menciptakan sebuah kecapi indah, yang
dinamakan ud al-shabbut. Pencipta-pencipta
musik Muslim ini, bukan kalangan rendah dan
kaum pertengahan saja. Seorang terpelajar besar
seperti Al-Farabi sudah cukup menjadi bukti,
betapa minat Islam terhadap musik. Akan tetapi
yang lebih menarik pikiran orang ialah Khalifah
Hakam II wafat tahun 974 M., telah menciptakan
musik tiup, yang bernama buq. Ziryab hidup pada
abad 11 M., adalah kepala bahagian pembuatan
musik pneimatic organ. Safi Al-Din Abd Al-
Ma’mun wafat dalam tahun 1294 M., telah dapat
menciptakan alat musik, yang dinamakan Nuzha
yaitu semacam psaltery bersegi empat”.29
Pada perbicaraan di atas sudah diungkapkan implementasi
muzik di tengah-tengah masyarakat Islam, juga telah diperjelaskan
usaha mencari kekuatan hukum muzik dalam al-Qur’an dan ternyata
tidak ada sepotong ayat yang membicarakan tentang bermain muzik
29 Ibid., h. 420.
64
dan berkesenian kecuali menerusi al-hadith. Dengan demikian dapat
dilihat bahawa kewujudan muzik di tengah-tengah masyarakat Islam
adalah berdasarkan pandangan menerusi hadith-hadith Nabi
Muhammad S.A.W., yang membolehkan umat Islam berkreativiti
menerusi muzik. Hal seperti itu sering dilakukan untuk melihat
kekuatan hukum terhadap sesuatu permasalahan dalam agama Islam.
Apabila suatu permasalahan tidak ada tercantum dalam al-Qur’an
maka bolehlah dirujuk kepada hadith-hadith Nabi sebagai pedoman
atau sandaran peringkat kedua bagi umat Islam.30 Untuk itu tulisan
ini cuba memaparkan beberapa buah hadith yang membicarakan
tentang bermain muzik atau berkecimpung dalam aktiviti seni
sebagaimana berikut:
1. “Telah masuk kepada saya Rasulullah S.A.W. sementara
bersama saya terdapat dua orang gadis sedang bernyanyi dengan
nyanyian Bu’as. Lalu Rasulullah berbaring di atas tikar sambil
memalingkan mukanya. Dan masuklah Abu Bakar, lalu membentak
saya sambil berkata: ‘Serunai setan di sisi Nabi S.A.W.?’ Lalu
Rasulullah menghadapkan mukanya kepada Abu Bakar, sambil
berkata ‘ Biarkanlah mereka bernyanyi hai Abu Bakar". Dan
manakala Rasulullah tidak ada perhatiannya, keduanya saya
singgung, lalu mereka keluar (H.R. Bukhari).31
2. Bukhari meriwayatkan dari ‛Aisyah, bahawa beliau
mempersandingkan seorang wanita dengan seorang laki-laki dari
kaum Anshar, lalu Nabi Muhammad S.A.W. berkata: “Hai ‛Aisyah,
apakah ada padamu permainan, karena kaum Anshar amat suka
kepada permainan (musik)”.
30 Berhubung pandangan ulama mengenai muzik, sila rujuk Abdullah Yusof,
“Indsustri Hiburan Dalam Islam: Analisis Dari Sudut Persejarahan Awal dan
Penilaian Hukum” , Jurnal Syariah, Jil. 8 Bil. 1, Januari 2000, hh. 31 - 37.
31 Sidi Gazalba (1981), op.cit., h. 146.
65
3. Tarmizi meriwayatkan dari ‘Aisyah, Nabi Muhammad S.A.W.
bersabda: “Umumkanlah pernikahan ini, lakukanlah dalam masjid,
dan mainkanlah rebana”.
4. Ahmad dan Tarmizi meriwayatkan dari Buraidah, yang
menjelaskan: Rasulullah S.A.W. keluar dari salah satu peperangan.
Tatkala beliau kembali, datanglah seorang gadis hitam kepada
Rasulullah, saya bernazar, jika anda dikembalikan Allah (sehabis
peperangan) dalam keadaan sihat wal’afiat, saya akan bermain rebana
dan bernyanyi di hadapan anda. Beliau berkata kepadanya: " Jika
benar kamu telah bernazar demikian, bermainlah. Kemudian ia
bermainlah. Lalu Abu Bakar masuk, gadis itu terus bermain,
kemudian ‛Uthman masuk, gadis itu terus bermain. Akhirnya ‛ Umar
masuk, ia memasukkan rebana itu di bawah pinggulnya, lalu
didudukinya. Maka berkata Rasulullah S.A.W. syaitan itu sungguh
takut padamu hai ‛Umar”.
5. Ibnu Majah meriwayatkan dari Anas bin Malik, bahawa Nabi
S.A.W. berlalu (berjalan-jalan) di sebahagian kota Madinah. Tibatiba
(terlihat oleh beliau) serombongan gadis yang sedang bermain
rebana dan bernyanyi, dengan mengucapkan (Syair). Kami ini gadisgadis
Bani Najjar, alangkah baiknya Muhammad sebagai “jar”
(jiran). Lalu Rasulullah berkata: “Allah tahu bahwa aku sayang
kepada kalian semua”.32
Berdasarkan beberapa hadith melalui kutipan di atas, dapat
diambil kesimpulan bahawa muzik, bermain muzik, menonton
pertunjukan muzik atau berkreativiti menerusi muzik tidak ada
larangan atau tegahannya, bahkan merupakan anjuran dari Nabi
Muhammad S.A.W. untuk memeriahkan pesta perkawinan dan
selainnya asalkan bermanfaat. Dengan demikian dapat ditunjukkan
bahawa bermain muzik untuk menuju ke arah yang lebih baik
32 Ibid., hh. 148 - 149.
66
mendapat pahala di sisi Allah S.W.T. Memandangkan masyarakat
hari ini dididik ke arah materialistik yang mementingkan keuntungan
dan kemewahan, maka muzik hari ini sering digunakan hanya untuk
hiburan semata-mata dan banyak diceburi oleh orang-orang yang
rendah akhlaknya. Justeru itu lahirlah budaya sensasi dalam industri
muzik sehingga meminggirkan akhlak, budaya bahkan agama. Irama
nasyid sebagai contoh yang memperjungkan muzik Islam juga perlu
mengorak langkah untuk melakukan perubahan dalam
menyampaikan mesej, yakni tidak perlu terikat dengan satu rentak
muzik sahaja. Begitu juga instrumen moden yang sesuai digunakan
perlu diketengahkan. Di Indonesia misalnya permainan gamelan
sering dilakukan di perkarangan masjid33 sebelum masuk waktu solat
dan ini mengundang minat yang besar di kalangan masyarakat
sekitarnya untuk mengunjungi masjid setiap waktu.
Kesimpulan
Berdasarkan kupasan di atas, dapatlah dibuat rumusan
bahawa permasalahan yang berhubungan dengan kewujudan dan
praktik muzik dalam kegiatan masyarakat yang beragama Islam
masih wujud. Adalah wajar dan bertepatan untuk menyimpulkan
bahawa kreativiti berkaitan muzik seperti mencipta, memainkan dan
menikmati boleh dilakukan oleh umat Islam asalkan boleh
memberikan keuntungan dan manfaat bagi mereka. Para aktivis
muzik akan mendapat pahala apabila mampu dan berupaya
mengarahkan masyarakat ke arah kebaikan.
Pandangan hukum Islam adalah jelas bahawa kreativiti dalam
seni muzik boleh dilakukan dengan syarat tidak membawa mudarat,
bahkan mendapat ganjaran pahala sekiranya boleh membawa manfaat
baik kepada pelaku atau pengkarya dan penikmat mahupun
masyarakat sekitarnya. Islam juga selalu menegaskan melalui hadith-
33 Zubir Ali (1999), Muzik: Satu Pandangan, h. 73.
67
hadith Nabi Muhammad S.A.W., bahawa berbuat sesuatu itu
tergantung kepada niat sebagaimana yang disebutkan dalam hadith
“Innama al-amal bi al-Niyyat” yang ertinya setiap sesuatu yang akan
dikerjakan tergantung kepada niat.
Menyoroti sejarah muzik dalam kehidupan Islam, ternyata
ramai para tokoh muzik yang sudah melahirkan ramai artis,
komposer, ilmuwan atau sarjana muzik bahkan menjadi pelopor
dalam penghasilan dan pembuatan alat-alat muzik. Jasa para tokohtokoh
muzik Muslim seperti Al-Farabi, Al-Kindi, Ibn Sina dan lainlain
sehingga terkenal sampai sekarang tentu tidak boleh dilupakan
begitu juga. Mereka bukan saja mendapat sanjungan dan menjadi
rujukan dalam peradaban Islam khasnya dalam bidang muzik bahkan
turut dikagumi dalam peradaban-peradaban lain di dunia. Di
Nusantara, perkembagan muzik Islam khususnya masih terus
berlangsung meski pun tidak seaktif muzik-muzik yang dibawa dari
Barat. Para aktivis atau penggiat muzik Islam perlu berhati-hati
menghadapi arus dan gelombang ini dan dalam masa yang sama para
ilmuwan Islam juga harus memberi bimbingan, pandangan dan
panduan yang tepat agar segala aktiviti berkaitan muzik dalam
masyarakat Islam berlandaskan syariat. Muzik dan hiburan pada
asalnya adalah halal kerana ia merupakan suatu keperluan tabii
manusia sebagai makhluk ciptaan Allah.34 Justeru itu muzik boleh
memberi kesan mendalam serta meresap ke dalam jiwa dan semangat
manusia sehingga berupaya mencetuskan sama ada kebaikan dan
keburukan.35
34 Abdullah Yusof (1999), op.cit., h. 38.
35 Lihat umpamanya I.P.Palvo, Conditioned Reflexes and Psychiatry, hh. 64 & 105.